1987-1989 : Sejarah Awal Spring_(kugiran)

Kumpulan Spring yang pada asalnya menggunakan nama Anthem ini telah ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu di Seremban, Negeri Sembilan. Kumpulan ini pada mulanya diketuai oleh Tengku Raden Iskandar bin Tengku Ismail (Iskandar) selaku pemain gitar utama dan disertai oleh empat rakannya yang lain iaitu Ahmad Hafzan bin Abdullah (Amat - vokal), Mohd Azhar bin Mohd Yusof (Zahar - gitar kedua), Mohd Yunus bin Mokhtar (Yunus - bass) dan Rozli bin Yahaya (Acong - dram). Sebaik sahaja kumpulan ini ditubuhkan, mereka kemudiannya menyertai War Rock, sebuah pertandingan muzik ala Battle Of The Bands yang dianjurkan oleh Mutiara Production buat julung kalinya pada tahun 1987. Selepas penyertan mereka dalam pertandingan tersebut, kumpulan ini mulai serius dalam bidang muzik apabila kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan di funfair, kelab, konsert-konsert mini dan majlis-majlis perkahwinan di seluruh Malaysia.

Pada tahun 1989, mereka sekali lagi menyertai pertandingan War Rock yang pada ketika itu sudah masuk tahun ketiga penganjurannya. Pada ketika inilah, mereka mula dikenali sebagai Spring atas nasihat dari rakan-rakan mereka selain namanya yang lebih mudah disebut. Kumpulan ini turut merakamkan dua buah lagu iaitu Hanya Untuk Mu dan Mencari Cahaya yang kemudiannya dimuatkan dalam album War Rock III. Gitaris utama kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong yang kebetulan datang menyaksikan konsert tersebut kemudiannya mempelawa Spring untuk menjadi artis rakaman setelah melihat potensi dan bakat yang ada pada mereka. Merasakan itu adalah peluang terbaik untuk Spring mempunyai album sendiri, akhirnya mereka sah menandatangani kontrak sebagai kumpulan rock pertama yang bernaung di bawah label CBS Records yang mana syarikat tersebut kemudiannya dikenali sebagai Sony Music Malaysia pada tahun 1990.